Tuesday, September 15, 2009

AIDILFITRI MEREKA, AIDILFITRI KITA

Ramadhan akan meninggalkan kita, dan Syawal pula bakal menjelma. Hari dinanti oleh hampir 15 juta rakyat negara ini yang beragama Islam, juga turut sama diraikan oleh pekerja asing yang mencari rezeki yang halal di negara ini, dari Indonesia dan Bangladesh. Turut sama bakal meraikan Aidilfitri di Malaysia tahun ini adalah pelajar-pelajar asing beragama Islam yang berasal dari Iraq, Iran, Tunisia, Sudan, Algeria, Kazakhstan, Turkmenistan dan lain-lain.

Kelaziman yang seharusnya berlaku di Aidilfitri ialah ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, menjamu tetamu dengan juadah yang baik dimasak sendiri dan mendoakan tuan rumah dengan penuh keihklasan. Masyarakat Melayu di sini tidak lupa untuk kunjung-mengunjung dari satu rumah ke satu rumah dari pagi hingga ke tengah malam, bermaaf-maafan (yang bersifat sementara), menjamu tetamu dengan juadah yang kebanyakannya dibeli dan gagal memainkan peranan dalam membentuk nutrisi yang seimbang lagi menyihatkan, dan mendoakan tuan rumah ditukar dengan gosip-menggosip, kata-mengata dan juga menyebarkan fitnah.

Persiapan menjelang Aidilfitri seharusnya dilakukan dengan bijak, menurut kemampuan, merancang dengan teliti dan matang serta mampu mengelakkan pembaziran. Namun begitu di Malaysia, warganya gemar berbelanja sakan menurut hawa nafsu, meminjam dari koperasi atau ah long untuk menampung perbelanjaan hari raya, terlalu bijak merancang untuk survive atau bertahan sehingga cuti hari raya berakhir (bukan untuk sebulan, atau setahun lagi, dan seterusnya) dan sudah tentunya akan berlaku inflasi terhadap ekonomi negara-membayar harga yang tinggi untuk kualiti yang rendah.

Sedar atau tidak inilah yang harus dihadapi dan ditelan tanpa mengunyah oleh masyarakat Melayu Islam di Malaysia umpama menelan dodol tanpa dikunyah. Walaupun sukar untuk ditelan (melekat-lekat) dan bunyinya sangat sinis dan pedas seperti rendang kerang emak, namun itulah yang terpaksa dihadapi bila ketika poket mulai ringan setelah mula pulang bekerja dan mulalah berazam untuk berjimat. Jika kalau boleh makan nasi tanpa lauk, lebih teruk rasanya jika hanya makan ketupat tanpa rendang. Bila tiada kemampuan mulalah untuk mencari langkah 'bijak' dan 'selamat' untuk mengatasi masalah ekonomi diri. Mulalah melabur dalam skim-skim 'cepat kaya', mula masuk MLM itu ini, ada juga mula cari name card yang berterabur di hadapan rumah setiap hari (name card ah long). Jangan sangka semakin lama melabur akan semakin untung, kerana 'pelaburan' tersebut sama seperti membakar lemang, semakin lama dibakar, semakin keras isi di keliling buluh, maka semakin sikit isi yang sedap dimakan, atau lebih teruk lemah tu terbakar terus, hangus, putih mata, dan tentunya dimarahi orang tersayang!

Harapannya, semoga masyarakat Melayu Islam ini semakin matang berhari raya atau lebih tepat meraikan kejayaan melalui Ramadhan dan hanya sebagai melalui sebuah hari yang bernama Hari Raya Aidilfitri. Kepada pelajar di luar negara, Aidilfitri mereka samalah seperti pelajar asing di Malaysia yang berada di kampus-kampus. Malah nasib mereka di luar negara adalah lebih malang lagi berbanding pelajar dari Iraq, Iran, Sudan, Algeria dan lain-lain dan pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh yang berhari raya di Malaysia ini. Kerana apa? Kerana tidak semua mereka dapat Solat Sunat Aidilfitri berjemaah, mendengar takbir dari masjid, menikmati cuti umum, menjamu selera dengan juadah tradisional kita dan terpaksa menghadiri kuliah seperti hari-hari biasanya...

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN

"Alangkah indahnya negaraku Malaysia..."

No comments:

Post a Comment