Monday, February 7, 2011

Berlalunya LTdL 2011

Berakhirnya saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 minggu lepas, terjawab sudah kemampuan skuad berbasikal kebangsaan pada ujian pertama mereka tahun ini, secara keseluruhannya boleh dikatakan sederhana.

Boleh dikatakan bahawa prestasi mereka begitu teruk memandangkan kedudukan keseluruhan menyaksikan mereka menduduki tempat ke-21 daripada 23 pasukan yang bertanding.

Persediaan yang kurang akibat jadual yang padat pada penghujung tahun lalu, merupakan antara sebab skuad kebangsaan beraksi dengan sederhana, di tambah laluan peringkat keempat dan kelima, memaksa pelumba berdepan pendakian berstatus Hors.

Sebaik sahaja beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi pada Oktober, skuad kebangsaan berdepan dengan Sukan Asia, sebulan selepas itu dan mereka hanya mempunyai masa pada Disember dan awal Januari untuk membuat persediaan LTdL.

Sementara jurulatih baru, Graham Seers pula hanya memulakan tugas pada awal Januari, sukar untuk menyediakan sebuah pasukan yang mantap dalam waktu yang suntuk, hasilnya kita dapat lihat sebaik sahaja LTdL 2011 berakhir.

Bagaimanapun ia tidak boleh dijadikan alasan semata-mata, beraksi di Sukan Komanwel dan Asia juga boleh dijadikan sebagai satu persediaan menjelang LTdL 2011, di tambah pula bukan keenam-enam pelumba yang beraksi pada LTdL kali ini turut mengambil bahagian dalam dua temasya besar tersebut.


Malaysian Team Race Meal..

Hanya Amir Mustafa Rusli sahaja yang mengambil bahagian pada Sukan Asia, dan pelumba yang berasal dari Terengganu itu juga merupakan pelumba terbaik skuad kebangsaan berbanding Suhardi Hassan, Ahmad Fakrullah Alias, Mohd. Nur Rizuan Zainal, Mohamad Rauf Nur Misbah dan Loh Sea Keong.

Ketika Amir seorang sahaja yang dilihat betul-betul bersedia, lima lagi pelumba perlu hanya beraksi pada tahap sederhana, namun ada pada satu ketika Rizuan, Rauf dan Sea Keong dilihat mampu mempamerkan tunggangan bertenaga.

Mengikut apa yang diperkatakan Seers, kemampuan pelumba kebangsaan bukan sahaja tertumpu kepada pasukan Malaysia semata-mata di LTdL kali ini, secara keseluruhannya pelumba negara beraksi dengan baik sekali termasuk mereka yang bersama pasukan profesional masing-masing.

Menurut Seers, dari sudut kesemua pelumba yang berasal dari Malaysia, ia tidak seteruk mana, Anuar Manan dan Mohd. Harrif Salleh yang mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) mampu mencabar pelumba handalan dunia dengan beberapa kali menaiki podium.

Anuar juga dilihat mampu mencabar pelumba muda Itali, Andrea Guardini yang mewakili Farnese Vini-Neri Sottoli merebut jersi biru (Raja Pecut), cuma nasib tidak menyebelahi Anuar kali ini walaupun dia memberi tentangan sehingga ke peringkat terakhir.

Pelumba muda TSG, Shahrul Mat Amin dan Mohd. Saufi Mat Senan pula dilihat mampu menjadi pelumba lebuh raya pada masa akan datang, Shahrul merupakan pelumba pertama Malaysia berjaya menaiki puncak Cameron Highlands dalam pendakian bertaraf Hors, manakala Saufi pula adalah pelumba terbaik Malaysia di LTdL kali ini.

Seorang lagi pelumba, Ng Yong Li pula dilihat banyak membantu pelumba harapan pasukannya, Le Tua Cycling Team, Libardo Nino Corredor yang hampir memenangi jersi kuning sebelum Jonathan Monsalve dari Androni Giocattoli meraihnya.

Hakikatnya, skuad lumba basikal lebuhraya negara sedang meniti proses pembangunan yang pesat dan adalah diharapkan pelumba-pelumba muda akan segera menggantikan pelumba senior yang gagal memberikan aksi terbaik.