Thursday, December 30, 2010

Cium Piala Walaupun Kalah


Format Piala AFF Suzuki 2010 yang baru menamatkan tirainya semalam, sesungguhnya menyebelahi Malaysia. Perlawan akhir yang dilangsungkan secara timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menemukan jaguh handalan Asia Tenggara pada suatu ketika dahulu iaitu Malaysia dan Indonesia.

Malaysia dikejutkan seawal kempen tahun ini dengan kekalahan memalukan kepada skuad Indonesia 5-1, di gelanggang keramat Indonesia. Namun begitu, keajaiban yang dicipta oleh skuad Harimau Malaya apabila layak ke separuh akhir walaupun hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Indonesia selaku juara kumpulan.

Malaysia menunjukkan keghairahan memburu Piala AFF Suzuki buat kali pertama setelah skuad tahun 1996 kempunan apabila sekadar menjadi naib juara, apabila impian menjadi juara dimusnahkan oleh Kiatisuk Senamuang dari Thailand. Vietnam menjadi mangsa Harimau Malaya di saingan separuh akhir 2010, sekaligus membuka peluang kepada skuad Malaysia memasang impian untuk bergelar juara.

Walaupun pada saingan akhir pertama di Bukit Jalil, Malaysia menang 3-0 ke atas Indonesia yang layak ke perlawanan akhir setelah mengenepikan Filipina pada satu lagi saingan separuh akhir, media Indonesia sibuk melancarkan perang psikologi terhadap Malaysia. Media di Jawa mendakwa penyokong Malaysia menggunakan pancaran lazer dan juga bomoh gatal-gatal bagi memenangi perlawanan akhir pertama tersebut. Ada juga yang mendakwa FAM didenda oleh FIFA dengan sejumlah jutaan ringgit akibat tindakan penyokong Malaysia itu.



Perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, menyaksikan pemimpin nombor satu Indonesia dan juga pembesar-pembesar kedua-dua negara hadir menyaksikan perlawanan bersejarah itu. Malaysia mendahului 1-0 melalui Safee Sali penjaring terbanyak kejohanan 2010 (5 gol), namun asakan bertali arus jentera Indonesia menghadirkan dua gol kepada mereka. Indonesia menang 2-1 ke atas Malaysia di gelanggang keramat mereka. Harimau Malaya yang terkulai, masih tersenyum bangga dan mampu mendabik dada dengan menyatakan skuad ini adalah yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini setelah menjuarai kempen Piala AFF Suzuki 2010 dan memperolehi pingat emas pada Sukan SEA 2009 sebelum ini.

Mencium trofi setelah kalah adalah suatu situasi dungu yang berlaku pada malam 29 Disember 2010, yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh warganegara Malaysia. Terdapat juga penyokong skuad Indonesia yang dungu kelihatan tercengang, termenung dan kusut fikiran setelah melihatkan situasi yang berlaku apabila saat skuad Harimau Malaya menjulang piala yang diidamkan setelah tewas 1-2 kepada Indonesia.

Tanggal 31 Disember 2010, pengumuman cuti umum seantero Malaysia dilakukan oleh Perdana Menteri bagi meraikan sambutan kemenangan sebagai juara Asia Tenggara yang baru. Walaupun kalah dan tercalar maruah juara, akhirnya skuad Harimau Malaya mencium piala dan rakyatnya cuti umum pula.

"Pak Kadok menang sorak kerana Si Jalak menang laga,
Namun kampung sendiri tergadai.."

No comments:

Post a Comment