Tuesday, April 20, 2010

Perlumbaan basikal Jelajah Malaysia dijadual 27 April

KUALA LUMPUR - Perlumbaan berbasikal tertua di Malaysia, Jelajah Malaysia (JM) 2010, yang berstatus 2.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan berlangsung dari 27 April hingga 1 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan dan Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Maniam Manickam berkata, lima peringkat perlumbaan akan dipertandingkan dengan 20 pasukan mengesahkan penyertaan.

Katanya, perlumbaan akan bermula di Kuala Selangor, Selangor menyusuri negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang dan berakhir di Kuala Perlis, Perlis yang membabitkan jarak keseluruhan 822.1 kilometer.

"Lima peringkat akan dipertandingkan pada tahun ini manakala satu peringkat tambahan iaitu kriterium di sekitar Pulau Langkawi akan berlangsung pada 2 April," katanya, semalam.

Maniam berkata, acara kriterium di pulau terbabit bagaimanapun tidak akan menawarkan sebarang mata kepada pasukan yang bertanding dan hanya hadiah wang tunai seperti peringkat-peringkat perlumbaan yang lain.

"Jadi peringkat kelima adalah kemuncak perlumbaan JM 2010 bagi menentukan juara keseluruhan dan pemenang-pemenang jersi-jersi yang dipertandingkan," katanya.

Mengenai status penyertaan 20 pasukan yang akan bersaing kelak, Maniam berkata, 10 pasukan merupakan pasukan tempatan manakala selebihnya adalah dari luar negara.

Maniam, yang juga merupakan Naib Presiden PKBM, berkata langkah menambah pasukan tempatan itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelumba-pelumba tempatan.

"Jika sebelum ini kita hanya berpeluang menghantar enam hingga tujuh pelumba sahaja, perkara sebaliknya berlaku tahun ini kerana sekurang-kurangnya 60 pelumba tempatan akan berpeluang menimba pengalaman bersaing dengan pelumba-pelumba luar.

"Jadi konsep JM 2010 adalah lebih kepada program pembangunan yang mungkin akan dapat melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba berbakat seperti Anuar Manan," ujarnya. - Bernama

1 comment:

  1. konsep jelajah malaysia kali ini memang tetap kepada programe pembangunan dan memberi peluang kepada pelumba tempatan bersaing dengan pasukan luar negara.Syabas penganjur diteruskan lagi ditahun-tahun seterusnya.
    apa yang saya perhatikan perkembangan setakat stage 2.pelumba tempatan bersungguh-sungguh menyempurnakan kayuhan sepertimana yang ditentukan.Kita sama-sama merekod seramai 60 pelumba kita menyertai pelumbaan berapa pelumba akan tersenarai pelumba terbaik tanah air kali ini.syabas majulah sukan untuk malaysia.

    ReplyDelete